Kategori : Fiksyen (Nanoteknologi) Tajuk : NanoMedic. Penulis : Mat Remaja
Wafiy
menyusuri denai seorang diri setelah ditinggalkan Muaz. Denai lama itu jarang
dilalui kerana semak samun yang jarang dibersihkan. Dia rasa seram sejuk bila
angin petang itu terasa sejuk menusuk kulitnya. Langit kelihatan suram. Dia
mula mempercepatkan langkah. Desiran dedaun agak menyeramkan baginya.
Tiga jam sebelumnya.
Muaz
sedar dia tidak mampu menahan sakit perut. Dia segera lari pulang ke bilik
lantas ke tandas. Kejang rasa kaki setelah tiga kali “melawat” tandas sejak
setengah jam yang lalu. “Aduh…teruk sakit aku ni”, getus hatinya. Dia menghabiskan
sisa air teh dari cawan di atas mejanya disusuli dengan ubat dari klinik Dr.
Surat. Ibunya pernah berpesan, jika cirit-birit segeralah minum teh panas. Dia
termenung seketika, rindu ibu. Dia meletakkan kepala ke bantal lalu tertidur
tanpa dia sedari. Tiba-tiba tidurnya terganggu apabila terdengar bunyi daun
pintu ditutup dengan kuat. “Ah..Wafiy. Kamu dah sampai. Maafkan aku sebab
tinggalkan kau Wafiy, aku dah sakit perut sangat”. Muaz segera bercakap sebelum
Wafiy memulakan.
“Takpelah..aku
faham. Tapi kan… aku seram pulak tiba-tiba jalan seorang diri tadi”. Wafiy
menambah.
“Ah..kau
ni… macam pertama kali pula jalan seorang diri. Esok kau takde kelas kan? Aku
naik basikal sajalah”, Muaz mengusiknya.
“Kau
rehatlah dulu”, Wafiy menasihati Muaz.
Fakulti Ekonomi.
Semua
tandas penuh, selain ramai pelajar yang beratur menunggu giliran. Ada pelajar
yang ke klinik dan mengadu sakit perut. Mereka pulang dengan ubat dan berasa
lega setelah mengambilnya. Mereka mula membuat andaian makanan di kantin dan restoran yang mereka
singgah untuk makan tengahari menghidangkan makanan yang tidak bersih atau
dijangkiti bakteria. Namun sakit itu hilang setelah mengambil ubat di klinik
dan mereka melupakan sahaja sakit yang telah mereka tanggung hari itu.
Klinik Dr Surat
Ramai
pelanggan yang sakit perut mula membanjiri Klinik Dr. Surat. Salah satunya
ialah klinik swasta di Taman Institut. Hari telah petang, maka klinik kerajaan
telah pun tutup dan hanya dibuka pada keesokan harinya. Maka Klinik Dr. Surat
dan Klinik Dr. Ninam sahaja pilihan yang ada untuk mereka adukan kesakitan
mereka. Setelah mengambil ubat pelanggan atau pesakit beransur kurang. Mereka
membuat andaian, ada kedai atau kantin mahupun restoran yang menghidangkan
makanan yang telah tercemar. Namun sebahagian yang datang hari itu makan di
rumah mereka sendiri. Dr. Surat meminta pesakit untuk datang semula jika sakit
perut mereka tidak berkurangan setelah mengambil ubat yang telah disarankan.
Ternyata
malam itu, tiada lagi pesakit atau pelanggan yang datang untuk kali kedua. Yang
datang nyata pertama kali setelah menanggung sakit perut. Pesakit hadir dari
pelbagai golongan dan tidak pula kesemuanya makan di tempat yang sama. Ini amat
membingungkan mereka.
Klinik Dr. Ninam
Dr.
Ninam yang tinggal di tingkat atas Klinik Ninam Shah segera turun apabila
terdengar bunyi loceng. Tanda ada pesakit yang datang. Beliau juga segera
memastikan kerani dan pembantu farmasi telah sampai pada waktunya. Kliniknya
rehat antara jam 4:40 hingga 5:30 petang. Itulah masa beliau pulang ke biliknya
untuk memberikan makanan untuk kucing-kucingnya. Kliniknya tidak ditutup pada
waktu tengahari kerana pada waktu itulah ramai pesakit yang bekerja datang
untuk mendapatkan bantuan kesihatan.
Pesakit
yang datang petang itu hampir 90% datang kerana sakit perut. Beliau agak curiga
dan mula menyampaikan berita itu kepada Pegawai di Jabatan Kesihatan
berdekatan. Rupanya Klinik-klinik berdekatan juga dipenuhi pesakit yang mengadu
sakit perut. Menjelang malam, daerah itu telah diberitakan dijangkiti wabak
yang dibawa oleh air. Semua kedai makan ditutup dan setiap rumah dibekalkan
sebiji bola kecil “PowerNano Clean” yang bertindak sebagai “agen pembersih” air
yang perlu diletakkan di dalam tangki air di rumah masing-masing. Ia mempunyai
partikel halus berkuasa yang menyerap bahan kimia atau bakteria dalam air, jika
ada.
Dr.
Ninam sangat bimbang kerana sehingga jam 11:00 malam dan ramai pesakit masih
terus datang. Ini bermaksud ubat yang beliau berikan tidak bertindakbalas atau
tidak melegakan kesakitan pesakitnya. Pesakit mula bising kerana terpaksa
datang kali kedua kerana masih tetap sakit setelah makan ubat yang Dr. Ninam
berikan.
Asrama
Muaz
mula berasa lega bila terjaga dari tidur yang panjang. Dia bingkas bangun dan
menuju ke bilik mandi. Setelah bersiap dia segera mengayuh basikalnya untuk
menikmati sarapan pagi di Warung Serbet. Namun harapannya kecewa kerana Warung
Serbet tidak beroperasi. Muaz meneruskan kayuhan ke kuliahnya. Setibanya di
sana dia agak kehairanan kerana lebih daripada separuh kelas itu kosong. Begitu
juga dengan pensyarah yang tidak muncul-muncul. Kelas itu dibatalkan begitu
sahaja. Muaz segera mahu pulang tetapi teringat tentang “Wabak Sakit Perut
Misteri” itu dan segera ingin bertanyakan kepada Pakciknya, Dr Surat. Dia
segera mengayuh basikalnya menuju ke Klinik Dr. Surat.
Setibanya
di Klinik Dr. Surat, Muaz dapati pintu depan klinik masih berkunci. Jam di tangan
dilihat dan faham bahawa kerani belum sampai, begitu juga dengan yang lain.
Tetapi dia dapati kereta Pakciknya ada di tempat letak kenderaan. Muaz segera
berlari ke hujung bangunan dan pusing ke belakang untuk masuk melalui pintu
belakang. Pintu yang biasanya Pakcik dia gunakan bila datang lebih awal atau
selepas waktu kerja.
Baru
sahaja Muaz ingin mengetuk pintu belakang, tiba-tiba dia terdengar suara Pakciknya
ketawa berdekah-dekah. Dia rasa tidak ingin mengganggu kerana mungkin Pakciknya
sedang berbual dengan tetamu. Dia hanya berdiri di luar pintu. Kedengaran
perbualan Pakciknya dengan seseorang.
“Terima
kasih banyak Prof, memang ramai yang datang ke Klinik saya sejak tengahari
semalam hinggalah tengah malam!... Memang lumayan Prof ! Hahaha…”, suara Pakciknya
kedengaran kuat.
Tiada
suara yang membalas perbualan Pakciknya. Bermakna Pakciknya sedang berbual di
dalam talian. Muaz mulai rasa kurang senang dengan kata-kata Pakciknya. Dia terus ingin mendengar.
“Baiklah,
hari ini Prof jangan minta budak tu buat apa-apa. Saya dengar Dr. Ninam dah laporkan
kepada Jabatan Kesihatan dan mereka sedang menyiasat. Penduduk juga dibekalkan
dengan PowerNano Clean. Susah nanti kalau kita nak teruskan projek ini hari ini.
Selang dua hari baru letak lagi. Formula NanoMedic dari Ninam betul-betul
berhasil. Tak sia-sia saya curi dari dia. Sebab hasil wujudnya NanoMedic kita
dapat idea ini. Hasil dalam satu hari pun dah macam hasil sebulan hahaha..”,
sambung Pakciknya.
“Ah…
jangan risau, kesan hanya sakit perut je”, Pakciknya terus bercakap di talian.
Muaz
mulai faham. Mungkin kejadian wabak itu didalangi oleh Pakciknya sendiri. Dia
mulai takut. Apa yang harus dia lakukan. Dr.Surat ialah Pakciknya. Tiba-tiba
kelihatan kereta kerani sampai dan Muaz tergamam lalu terus lari ke arah
basikalnya dan mengayuh laju ke asrama. Dia rasa terkejut dan bercelaru. Apakah
dia fikirkan itu benar ?. Pakciknya ialah dalang?. Dia segera berlari ke bilik
dan melompat ke atas katil. Dia mula fikirkan sesuatu. Dia mengejutkan Wafiy
yang masih tidur di katil.
Petang
itu, Muaz ditemani Wafiy ke Balai Polis Daerah untuk menyampaikan perbualan
yang didengarinya. Dia berasa amat bersalah jika tidak melaporkan kerisauannya
dan perbualan sebenar Pakciknya. Walaupun tidak pasti apa yang berlaku tetapi
Muaz dapat mengaitkan perbualan itu dengan kejadian Wabak Misteri di Taman
Institut. Polis mengambil semua keterangan Muaz. Polis juga menasihati Muaz
supaya jangan risau kerana mereka akan menjalankan siasatan dan mula mengintip
serta merakam perbualan Dr.Surat mulai petang itu. Muaz hanya mengingati pesan
ibu bahawa dia harus jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Pagi
itu, Muaz berada di kelas dan tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Dia segera
keluar dari kelas untuk mengambil panggilan itu.Ternyata polis telah pun
menjalankan siasatan dan tangkapan. Sungguh mengejutkan. Rupa-rupanya Dr.Surat,
Prof Amir Hamzah dan beberapa orang pembantunya ditangkap kerana menjadi dalang
kepada wabak “NanoCreep”. Mereka meletakkan sebutir guli kristal yang mempunyai
sejuta “NanoCreep” yang dicipta oleh Prof Amir Hamzah ke dalam tangki air di
daerah itu. Kesannya, apabila pengguna menggunakan air walaupun telah dimasak
atau ditapis, ia tetap masuk ke tubuh dan memberikan kesan sakit perut dan
cirit-birit. Saiz NanoCreep sebesar satu nanometer sahaja. Ia juga tetap
“hidup” dalam suhu 100 darjah celcius. Dr.Surat pula bertindak sebagai pembekal
ubat yang boleh mengubati wabak itu. Lebih menyedihkan Formula NanoMedic yang
beliau jual kepada pesakit sebenarnya kepunyaan Dr. Ninam yang hilang tiga
tahun lepas selepas kliniknya dipecah masuk. Dr Surat telah menjalankan proses pembuatan
sendiri dari formula itu dan menukar pembungkusannya.
Dr.Surat
telah lama berdendam dengan Dr.Ninam yang lebih digemari kerana
kebijaksanaannya sejak di Universiti, dalam kerjaya serta mempunyai hubungan
yang baik dengan Jabatan Kesihatan dalam menangani masalah kesihatan masyarakat
di kawasan itu. Dr.Ninam pernah memberitahu Dr.Surat tentang formula yang
mengambil masa dua belas tahun untuk dicipta itu. Beliau redha setelah hilang
namun sedang dalam proses mencipta semula. Dr.Ninam juga disayangi masyarakat
terutama warga emas dan OKU kerana memberikan laluan pantas serta percuma
kepada mereka.
Muaz
sangat kesal mendengar berita yang disampaikan oleh polis yang membuat
panggilan itu. Ternyata apa yang dia curiga itu benar. Polis menasihatinya
supaya jangan bimbang kerana laporan yang dibuatnya dirahsiakan nama sebenarnya
dan diletakkan nama lain. Pihak polis sangat berterima kasih kepadanya kerana berjaya
melaporkan sebelum Wabak Nanocreep itu terus berleluasa untuk kepentingan beberapa
insan yang sangat tamak dan mementingkan diri serta mengkhianati masyarakat. Nanoteknologi
dan sains sesungguhnya untuk kelestarian kehidupan serta keamanan saksama. Ia
harus digunakan sebaik-baiknya. Bukan sebaliknya. Muaz dan Wafiy berasa lega keputusan
berani mereka petang itu menyelamatkan masyarakat di kawasan itu.
Dr.
Ninam kesal dengan perbuatan Dr. Surat dan Prof Amir Hamzah kerana mereka
berdua adalah rakan mereka semasa di Universiti dan tidak menyangka sama sekali
yang mereka sanggup melakukannya. Namun begitu Dr. Ninam berasa lega kerana
masyarakat Taman Institut kembali sihat.
Jumlah perkataan : 1499 patah
perkataan
Comments
Post a Comment