Kategori : Fiksyen Tajuk : Ejen Rahsia Tapai Pulut. Oleh : Haseef (Pemenang)

 


                                                             


                                                                Ejen Rahsia Tapai Pulut.

 

Cahaya matahari memancar terang, Zaki segera meletakkan drone miliknya di halaman rumah. Drone berbentuk kupu-kupu direka dengan puluhan mikro panel yang menyerap tenaga solar dicipta setahun lalu dengan bantuan bapa tirinya, Pak Suleyman.

 

Empat tahun lalu, ibunya berkahwin dengan Pak Leyman namun ibunya telah meninggal dunia kerana sesak nafas akibat asap dari kebakaran hutan di Kampung Leng dua tahun lalu. Kebakaran itu adalah sejarah hitam dalam hidup Zaki dan penduduk kampung kerana mereka kehilangan orang tersayang dan tanaman getah. Ibunya yang berada di kawasan berhampiran semasa kebakaran telah diselamatkan oleh bapa tirinya, namun sudah terlambat.

 

Kesan jerebu itu mengambil masa beberapa bulan untuk hilang. Tanah menjadi kering. Ramai kehilangan mata pencarian. Dalang yang mendalangi kejadian itu juga tidak dapat dikesan. Kini kawasan kejadian telah dijual dan didirikan gudang oleh seorang usahawan yang tidak dikenali. Sejak kejadian itu, Kampung Leng terasa panas dan banyak rungutan yang gudang itu mengeluarkan asap pada waktu malam. Namun seperti tiada tindakan selanjutnya. Ikan di sungai berdekatan juga mati kerana tercemar dengan bahan buangan dari gudang tersebut.

 

Petang itu, Zaki mengayuh basikal ke kedai yang membantu menjual tapai pulut Pak Leyman. Tapai pulut Leyman dibuat sendiri oleh Pak Leyman dan Zaki untuk menambah sumber kewangan mereka. Zaki pernah berkongsi cara membuatnya di YouTube sambil beraksi seperti saintis. Aksi persembahan pelbagai eksperimennya di YouTube sangat disukai dan menarik ramai pengikut.

 

Sedang leka mengayuh, tiba-tiba beberapa buah kenderaan asing laju melintasinya. Dia memberhentikan basikal lalu menoleh semula ke belakang. Zaki rasa kurang senang apabila matanya terfokus pada pemandu kenderaan tersebut yang bertatu di pipi kanan. Dia segera mengambil drone dari dalam beg galas dan menerbangkannya mengikut haluan kenderaan tersebut pergi.

 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Malam itu, sambil menapis ragi, Zaki memberitahu ayahnya.

“Ayah, petang tadi ada kenderaan asing masuk kampung. Wajah pemandunya seperti samseng dalam filem tau ayah…” kata Zaki.

Namun dia tidak menceritakan tentang drone yang dia terbangkan untuk menyiasat.

 

“Hish, jangan cakap orang macam tu. Mungkin mereka lalu sini sebab nak mengelak dari kesesakan lebuhraya” jawab Pak Leyman.

 

“Mereka ?” bisik Zaki dalam hati. Dia berasa aneh dengan jawapan Pak Leyman namun terus diam sambil tangannya ligat membungkus tapai dengan daun getah.

Malam itu Zaki masuk bilik tidur lebih awal. Dia tidak sabar untuk melihat rakaman yang ada pada drone miliknya. Dia rasa berdebar namun teruja untuk melihat rakaman tersebut.

Selesai sahaja menonton, Zaki tidak dapat melelapkan matanya.

 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Jam menunjukkan 8:30 pagi. Zaki berada di Balai Polis Teluk Wan. Dia menyerahkan rakaman dari drone tersebut kepada pihak polis.

 

“Ibu, Aki buat perkara yang betul….” Zaki berbisik seolah-olah ibunya ada di sisi.

 

Tengahari itu penduduk kampung digemparkan dengan kehadiran beberapa buah kereta polis dan penangkapan seorang Professor yang telah menghilangkan diri setelah diburu enam tahun lalu kerana melakukan kegiatan mencipta bahan biokimia berbahaya. Bahan tersebut boleh menguraikan plastik dengan cepat namun berbahaya.

 

Professor Imtiaz Rakeyman Al-Kirani. Nama yang tidak dikenali di Kampung Leng namun wajahnya tidak asing bagi Zaki. Menyamar sebagai petani bernama Suleyman Ahmad, rupa-rupanya dialah pemilik gudang itu. Professor Rakeyman juga bersalah kerana mendalangi kebakaran serta mengakibatkan kematian ibunya dua tahun lalu. Zaki amat kecewa selepas menonton rakaman itu.

 

Terbongkar, gudang itu menghasilkan bahan biokimia berbahaya dan dijual secara haram kepada pembekal seluruh dunia. Bagi Professor Rakeyman, manusia akan bergantung kepada plastik selama-lamanya tetapi takut dengan pencemaran dan longgokkan plastik. Menurutnya, bahan biokimia ciptaannya boleh menyelesaikan masalah itu dalam beberapa minit kerana boleh mengubah plastik menjadi cecair dan gas. Namun ia mengundang kenaikan suhu bumi, kerosakan, malah kematian. Ternyata ciptaannya bukan membantu tetapi bakal memusnahkan bumi dan makhluk hidup kerana gas dan cecair itu beracun. Semuanya terbongkar setelah drone milik Zaki berjaya merakam perbualan urusniaga Professor Rakeyman dan pelanggannya.

 

Maklumat tentang Zaki dirahsiakan oleh pihak Polis kerana menjaga keselamatan Zaki yang baru berumur 15 tahun. Oleh itu, pihak polis menyatakan rakaman itu adalah hasil siasatan pihak Polis.

 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

Setahun berlalu.

Zaki kini di asrama Sekolah Sains Tinggi. Dia masih mengusahakan tapai pulut semasa cuti sekolah.

“Zaki, ada seorang lelaki ingin berjumpa kamu! ” teriak rakannya.

Zaki segera ke Dewan Pertemuan Pelajar. Inspektor Kabir duduk tenang menunggunya. Beliau menghulurkan satu kertas sejurus selepas Zaki duduk.

 

“Alhamdulillah…. terima kasih Tuan.” kata Zaki kepada lelaki tersebut tanda setuju selepas membacanya.

 

Tertulis tempahan seribu bungkus “Tapai Pulut” di atas kertas. Namun sebenarnya ia adalah tempahan rahsia Micro Drone ciptaannya. Kini, Zaki adalah seorang pembekal rahsia pihak kerajaan dan menyiasat kegiatan haram yang mengakibatkan pemanasan global, pencemaran udara, tanah dan air di Malaysia melalui bantuan mikro drone dengan teknologi nano ciptaannya.

 

Zaki, Ejen Rahsia Tapai Pulut.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

JOM BACA ESEI REMAJA KATEGORI MENENGAH RENDAH.

Kategori : Fiksyen (Nanoteknologi) Tajuk : NanoMedic. Penulis : Mat Remaja